Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  
  
 

 Insentif Cukai Melalui Perkhidmatan Akreditasi 

Kerajaan telah menawarkan insentif cukai melalui perkhidmatan akreditasi dalam bentuk potongan  cukai kepada badan penilaian pematuhan seperti makmal, badan pensijilan dan badan pemeriksa  yang mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM). Manakala, syarikat-syarikat  yang mempunyai pensijilan atau perakuan kualiti standard dan Halal boleh menikmati potongan cukai  tersebut.  

Insentif cukai tersebut telah dinyatakan dalam Garis Panduan Potongan Perbelanjaan di Bawah  Perenggan 34(6)(m) dan 34(6)(ma) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi maksud pengiraan cukai  pendapatan terkini yang diterbitkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 30  Disember 2025. Garis Panduan terkini ini merangkumi program pensijilan Anti-Bribery Management  System (ABMS) berdasarkan Standard MS ISO 37001 di bawah Skim Akreditasi Badan-Badan  Pensijilan (ACB).  

Garis Panduan ini menerangkan kriteria kelayakan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan  cukai pendapatan bagi perbelanjaan yang dilakukan untuk mendapatkan:  

(i) sijil akreditasi yang dikeluarkan oleh JSM; dan  

(ii) sijil perakuan sistem kualiti dan standard serta sijil Halal yang dikeluarkan oleh Badan  Pensijilan yang diakredit oleh JSM.  

Di bawah perenggan 34(6)(ma), Akta Cukai Pendapatan 1967, syarikat layak menuntut potongan  dua kali bagi perbelanjaan yang dilakukan bagi tujuan mendapatkan pensijilan bagi sistem  pengurusan kualiti, Standard dan Halal daripada Badan Pensijilan yang mendapat akreditasi JSM  seperti yang ditentukan oleh Menteri Kewangan.  

Di bawah perenggan 34(6)(m), Akta Cukai Pendapatan 1967, syarikat layak menuntut potongan  cukai (sekali) bagi perbelanjaan yang dilakukan untuk mendapatkan akreditasi daripada JSM.  

Tuntutan potongan cukai hendaklah dilaksanakan dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi tahun  taksiran berkenaan dan dibuktikan dengan sijil perakuan yang diperoleh daripada JSM atau Badan  Pensijilan yang diakredit oleh JSM. Sijil dan dokumen berkaitan seperti resit bayaran bagi tujuan  tuntutan potongan cukai hendaklah disimpan dengan baik oleh syarikat sebagai bukti pengisytiharan  mereka kepada LHDNM.

Kami Menggunakan Kuki
Laman web ini mengunakan kuki. Sebahagian adalah penting bagi membolehkan laman ini beroperasi, manakala yang lain membantu dalam menambah baik laman dan pengalaman pengguna (kuki penjejakan). Anda boleh memutuskan sama ada anda mahu membenarkan kuki atau tidak. Sila ambil perhatian, bahawa menutup kuki mungkin menghalang anda daripada menggunakan bahagian tertentu di laman web. Ini juga bermakna bahawa beberapa ciri pada laman web ini tidak akan berfungsi jika anda tidak membenarkan kuki.